Unic kembang empayar perniagaan sebagai bekalan ketika tidak diperlukan nanti

»Oleh Nor Akmar Samudin akmar@hmetro.com.my

MENYEDARI tidak boleh bergantung harap kepada sumber pendapatan dari aktiviti seni saja, tiga anak muda yang menganggotai kumpulan nasyid UNIC, Bazli Hazwan, Ahmad Fadzli dan Fakhrul Radhi, menubuhkan syarikat, UNIC Nasyeed & Training Consultants.

Selain terus aktif melalui persembahan nasyid, UNIC menggabungjalinkan konsep berhibur sambil mendidik melalui program motivasi dan kursus latihan di peringkat sekolah dan juga universiti. Berbekalkan pengalaman juga, mereka menubuhkan sebuah lagi syarikat iaitu UNIC Records.

Tujuan penubuhan syarikat itu bertujuan memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penerbitan album, buku dan yang berbentuk pendidikan untuk segenap lapisan masyarakat serta berfungsi sebagai pengedar kepada semua UNIC Records dan pelanggan mereka.

Fadzli berkata, terus giat mengatur langkah dalam bidang perniagaan, UNIC bergerak setapak lagi dengan menubuhkan anak syarikat, UNIC Biotrade Sdn Bhd.

"Tidak selamanya kami akan menyanyi kerana bidang seni berdasarkan permintaan peminat. Kami perlu bersedia sebelum tiba masa kami tidak diperlukan lagi nanti. UNIC Biotrade diwujudkan bagi memasarkan dua produk terbaru keluaran syarikat berasaskan produk untuk kesihatan."

"Sejajar keadaan masyarakat kini yang terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan seharian sehingga terabai kesihatan sedangkan badan yang sihat adalah harta paling berharga."

"Tanpa pengambilan makanan tambahan, kebanyakan masyarakat kini mengalami masalah kekurangan daya tahan tubuh sehingga mengalami kelesuan, keletihan, ketegangan, mudah alami tekanan jiwa dan mental, sakit kepala (migrain), demam serta banyak lagi penyakit yang akan hinggap pada tubuh."

"Bertitik tolak dari itu, UNIC Biotrade mengeluarkan dua produk kesihatan bersesuaian semua lapisan masyarakat, terutama kepada mereka yang keletihan dan kele-suan bekerja," katanya.

UNIC... semakin aktif berniaga.

20110208