Khalifah Pertama salah satu nasyid yang bisa membuat Tedi menangis!

  • Khalifah Pertama dinyanyikan oleh kumpulan Mirwana melalui album mereka Hikmah Kembara.
  • Khalifah Pertama merupakan penceritaan sebahagian kisah Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq. Beliau adalah khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.
  • Secara kasarnya nasyid ini mengisahkan kesetiaan beliau sebagai seorang sahabat kepada Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wassalam.

Komen Tedi mengenai Mirwana.

  • Mirwana merupakan kumpulan nasyid sekolah, kalau tidak silap Maahad Muhammadiah.
  • Keunikan Mirwana adalah mereka kumpulan nasyid yang menggunakan drum.
  • Penubuhannya dikatakan Master adalah oleh Yassin Sulaiman yang kemudiannya menubuhkan kumpulan nasyid Brothers. Ada beberapa lagu Mirwana yang dinyanyikan semula oleh Brothers.
  • Kehebatan Mirwana budak sekolah adalah pada kehebatan vokal pilihan ketuanya.
  • Ahli Mirwana silih berganti dan mempunyai beberapa generasi.
  • Mirwana yang dikomersialkan mengikut Master adalah generasi ke-7 atau ke-13, Master tak berapa nak ingat. Itu pun kawannya yang beritahu di mana kawannya itu merupakan anggota Mirwana generasi ke berapa entah?
  • Tedi meminati lagu-lagu Mirwana budak sekolah namun tak berapa meminati mereka selepas mereka dikomersialkan.
  • Faizal Tahir merupakan ahli Mirwana sebelum keluar menyertai pertandingan nyanyi-nyanyi.
  • Mirwana kemudiannya membuat kenyataan bahawa mereka bukan kumpulan nasyid dan tidak pernah menyatakan mereka menyanyikan nasyid. Tamparan habat buat peminat nasyid dunia (bukan tamparan wanita tau).
  • Sejak itu mereka tenggelam. Sekian.
Gambar kumpulan nasyid Mirwana pada awal penubuhannya
Komen munsyid.com agak menarik untuk dibaca: "Antara Nasyid dan Mirwana"

Lirik nasyid "Hikmah Kembara" dan komentar Tedi:

Khalifah Pertama, Khalifah Pertama

Khalifah bermaksud pemimpin dalam Bahasa Arab. 

Sistem khalifah Islam bermula selepas kewafatan Rasulullah sollallahu 'alaihi wassalam, dimulai dengan pemerintahan khalifah Abu Bakar as-Siddiq. 

Abu Bakar as-Siddiq merupakan salah seorang daripada Khulafa Ar-Rasyidin yang berjumlah 4 orang, diikuti oleh Omar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali bin Abi Talib. 

Mereka ini adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad sollallahu a'alaihi wassalam yang dijanjikan syurga, malangnya ada di antara kita suka-suka je mencela mereka.

Di sana terpancar sinar cahaya 
Menerangi lorong-lorong yang gelita 
Namun mereka tiada percaya 
Malah mencaci dan menghina

Ketika detik awal ke-Rasul-an Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam, orang ramai bukan sahaja tidak mahu percaya, malahan mencela Baginda sollallahu a'laihi wassalam.

Engkaulah yang pertama membenarkannya 
Hilang saudara 
Hilang segala-gala 
Engkau tetap setia 
Kalimah Tuhan kan bertakhta


Saiyidina (penghulu kami) Abu Bakar as-Siddiq merupakan di antara manusia terawal yang memeluk Islam.

Walaupun menghadapi pelbagai dugaan namun beliau tetap setia dan yakin dengan kebenaran Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam & juga yakin bahawa Islam akan mencapai kemenangan.

Dikaulah lambang teman sejati 
Pada kekasih janji dipateri
Khalifah pertama 
Menggenggam erat panji suci bila kekasih tiada lagi
Kekasih tiada lagi


Saiyidina Abu Bakar radhiallahu anhu menyambung perjuangan Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam selepas kewafatan Baginda sollallahu a'laihi wassalam. Menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan ini dilihat sesuai kerana beliau sahaja yang menggantikan Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam menjadi imam solat berjemaah ketika Baginda sollallahu a'laihi wassalam gering (sakit tenat).

Teman di kala suka dan duka 
Tiada apa yang dapat memisahkan 
Rela berkorban harta dan nyawa 
Lafazmu hanya kebenaran

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq seorang sahabat yang sangat setia, selalu bersama Rasulullah sollahu a'laihi wassalam. Beliau juga sanggup berkorban harta menegakkan syiar Islam termasuklah membebaskan beberapa orang hamba termasuk Bilal bin Rabah.

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq juga terkenal kerana berkata benar dan selalu membenarkan Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam. Sebagai contoh ketika umat Islam diuji dengan peristiwa Israk Mikraj, dia terus percayakan Rasulullah dan mengakui kebenaran peristiwa itu. Sebab itulah beliau digelar As-Siddiq (yang membenarkan).

Tika bisa menjalar mencengkam tubuh 
Kekasih lena di pangkuanmu 
Engkau tetap setia  
Hingga mengalir air mata

Saiyidina Abu Bakar merupakan satu-satunya manusia yang menemani Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam ketika Baginda sollallahu a'laihi wassalam berhijrah ke Madinah.

Dalam perjalanan mereka bersembunyi di Gua Tsur. Kerana keletihan Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam tidur di pangkuan Abu Bakar as-Siddiq. 

Ketika itulah beliau menyedari ada 1 lubang yang ada ular di dalamnya. Beliau menahan lubang itu dengan kaki sehingga dipatuk ular. Beliau tetap bertahan menahan bisa racun ular itu kerana tidak mahu mengganggu kekasihnya tidur sehingga menitis airmatanya ke wajah Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam.

Di sinilah janji setia antara sahabat dan kekasih 
Menjadi inspirasi kami 
Walau tiada pernah bersua 
Aku kan tetap setia untuk selama-lamanya

Bacaan lanjut:

Karangan dalam Bahasa Melayu ini mula dikirim pada 30 Ogos 2013 dan dipadatkan pada 4 Julai 2019 jam 7:56 pagi.