Setelah 2 hari tersadai, Tedi kembali mencoret.


Lama juga tidak mencoret walaupun Tedi tidaklah kemana-mana, cuma sedikit keletihan kerana terpaksa bekerja dalam 2 projek pada satu masa.

Pada sebelah siang Tedi mengerjakan Projek Penilaian manakala di sebelah malam Tedi usahakan Projek Laporan Akademik (CAD).

Nasib baik dengan perancangan Allah subhanahu wa ta'ala Yang Maha Merancang, Tedi dilucutkan daripada menerajui Projek Sumber Manusia kira-kira 2 minggu lalu di mana tempat Tedi digantikan oleh seorang kawan yang Tedi anggap sebagai guru kepada Tedi. Dengar khabar kawan Tedi tu buat semua yang Tedi usahakan daripada awal kerana kerja Tedi itu tidak mencapai NKRA beliau. 

Kalau Encik O yang buat, Tedi tak kisah dia nak buat lagu mana pun kerana Tedi tahu kehebatan dia.

Apakah yang dimaksudkan dengan Orang Matematik?

Cukuplah dengan bicara mengarut mengenai Tedi, kerana ia tidak penting pun dan tidak menarik untuk dikongsi, hehe.

Berbicara mengenai Orang Matematik, istilah ini merujuk kepada kawan-kawan kita yang pandai Matematik dalam kelas. Kita yang tak berapa pandai ini secara automatik akan mengatakan bahawa dia Orang Matematik, dia memang keturunan ahli Matematik, lahir je ke mukabumi dia dah pandai kira 1, 2, 3 dan dia juga lahir bersama sebuah buku Matematik atau sebuah kalkulator (mesin kira).

Mengarut tak? Mungkin nampak mengarut namun kita semua beranggapan begitu.


Kepandaian dalam Matematik tiada kaitan dengan genatik.


Baru-baru ini dua orang professor, Miles Kimball dan Noah Smith telah menyatakan bahawa kepandaian dalam Matematik tidak boleh diwarisi melalui genetik atau baka atau keturunan. Tapi kalau melalui saka, Tedi tak berapa pasti.

Mereka menegaskan, pencapaian dalam bidang Matematik adalah melalui usaha keras dan juga melalui keyakinan diri. Perkara ini dijelaskan mereka melalui esei (karangan) mereka dalam The Atlantic.

Tedi pula percaya pendedahan awal juga memainkan peranan penting, contohnya bayi berumur 1 tahun walaupun tak kenal nombor namun apabila kita duk ulang tunjuk nombor, mungkin nombor itu terakam dalam otak mereka. Sebab itu apabila ibu bapa pandai Matematik, anak mereka juga bijak Matematik kerana sudah tentu ibu bapa mereka duk latih anak mereka dalam Matematik.

Macam dalam gambar ini, kanak-kanak didedahkan kepada ilmu memadamkan api atau apa-apa yang berkaitan dengan Bomba. Ini akan menanam minat mereka dan keyakinan mereka kepada aktiviti kebombaan.

Mitos "Orang Matematik" menjejaskan pelajar


Bagaimana mitos ini menjejaskan pelajar? Ia menyebabkan para pelajar yang bermasalah tidak mahu berusaha kerana mereka fikir mereka bukanlah Orang Matematik (atau Orang Sains).

Akhirnya mereka semakin ketinggalan kerana percayakan perkara tahyul sebegitu.

Cara membanteras?


Mudah sahaja, kedua-dua professor itu menyarankan ibu-bapa menyokong anak mereka untuk berusaha dan lebih berkeyakinan.

Jangan tekan mereka untuk mencapai gred kerana apa yang lebih bagus ialah mereka dapat manfaatkan ilmu tersebut.

Ia adalah sesuatu yang boleh mereka kuasai jika mereka berusaha untuknya, dan Tedi percaya ia bukan hanya khusus untuk Matematik sahaja, kan?

***

Sumber rujukan untuk coretan Tedi ini:



20131030