Orang Melayu kurang menepati janji kerana mereka tiada jam seperti orang Jepun.


Itu kata-kata cikgu Tedi ketika dia mengajar subjek sejarah. Katanya orang Jepun perlu mematuhi musim-musim tertentu jadi mereka memerlukan jam.

Sebarang janji mereka adalah menurut kepada waktu pada jam mereka, jadi mereka amat menuruti waktu.

Orang Melayu, lain pula, berjanji menggunakan waktu solat, contohnya "selepas Isya", sedangkan jam 1 pagi pun dikira selepas Isya!

Itulah di antara intipati kata-kata cikgu Tedi.

Entah kenapa Tedi tak berapa nak hadam dan terima kata-kata cikgu itu. Mahu sahaja Tedi bangkit dan mematahkan hujah-hujahnya namun sebagi murid kita kena berlapang dada.

Jadi di kesempatan ini Tedi mahu mengulas mengenai janji Melayu itu yang menurut atau bersandarkan kepada waktu solat.

Bagi Tedi, cikgu itu mungkin tak memahami bagaimana situasi janji menggunakan waktu solat digunapakai oleh orang Melayu pada masa dahulu. Mungkin sahaja cikgu itu sendiri hanya memahami berdasarkan waktu solat beliau yang mungkin Isya pada jam 1 pagi!

Janji berdasarkan waktu solat bukan hanya janji bersandarkan waktu. Ia adalah janji bersandarkan aktiviti harian mereka iaitu bersolat jemaah di masjid-masjid dan surau-surau.

Jadi apabila mereka berjanji untuk melakukan sesuatu selepas waktu solat tertentu, ini bermakna mereka bersolat berjemaah, membaca doa, dan kemudian berangkat beramai-ramai menuju ke destinasi yang dijanjikan.

Jadi tiada masalah bagi mereka dengan janji sebegitu kerana mereka bergerak bersama-sama.

Bukannya seperti pada zaman sekarang, ada tuan rumah yang jemput ahli kariah ke rumah untuk sesuatu majlis seperti bacaan tahlil, sedangkan tuan rumah itu sendiri tidak ke surau untuk "bergerak" bersama-sama ke rumah beliau selepas solat jemaah. Apa mereka fikir jemput orang ni macam order pizza? Kemudian apabila orang surau lambat sedikit, mulalah mengomel.

Maka jika dilihat daripada amalan orang dulu-dulu terlihat kesungguhan mereka, apabila menjemput bukan sekadar di mulut, mereka bergerak bersama daripada tempat mereka solat berjemaah. Malahan kalau kawan-kawan solat berjemaah di masjid pun, tentu kawan-kawan tiada  masalah untuk memenuhi janji seperti ini kan?

Jadi Tedi memang tak setuju dengan pendapat cikgu Tedi tu, tapi Tedi tak boleh salahkan dia kerana mungkin sahaja dia nampak Jepun tu lebih canggih.

Dan janji seperti ini juga menunjukkan bahawa pada suatu masa dahulu, masjid atau surau menjadi pusat komuniti penting di sesebuah kawasan.

Wallahu'alam.


20140119