Sudah beberapa malam kenduri tahlil diadakan keluarga arwah.

http://aenze.blogspot.com/2013/02/tahlil-cinta.html

Master sebagai salah seorang jiran kepada arwah sudah tentu menerima undangan ke majlis berkenaan.

Master sebenarnya punyai kerisauan tersendiri dalam memenuhi undangan ke mana-mana majlis tahlil.

"Saya serba salah sebenarnya nak penuhi undangan ni"
"Kenapa pula?"
"Iyelah, takut termakan harta anak yatim."
"Betul kata tuan tu."
"Tapi kalau tak pergi, tak sedap pula."
"Memang betul, kalau pergi tak makan pula, takut membazir."
"Itulah. Apa saya buat selama ni saya bagi duit kira macam bayar apa yang saya makan."
"Beginilah tuan, kita kena rancang sesuatu supaya selepas ini keluarga si mati tak perlu sediakan makanan."

Begitulah butir bicara di antara Master dan jirannya.

Permasalahan takut termakan harta anak yatim apabila menghadiri majlis tahlil bukan satu masalah enteng. Tambahan ramai guru Tedi menjelaskan perbuatan menyusahkan keluarga yang sedang berduka amat tidak patut dilakukan.

Jadi ada surau atau kejiranan yang telah mengambil inisiatif untuk melarang keluarga si mati menyediakan makanan sebaliknya mereka akan bekerjasama menyediakan apa yang patut.

Tetapi masalah ini tidak boleh dipaksa begitu sahaja kerana dibimbangi mencalarkan hati tuan rumah, ia perlu didahului dengan ilmu dan dituruti dengan hikmah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserakan.

Kadangkala nak mulakan mukadimah menjelaskan kepada tuan rumah pun seumpama ditelan mati ibu, diluah mati bapa, dikemam sendiri mati. Ini adalah kerana adat kadangkala mengaburi pengetahuan agama.

Sebab itulah Nik Aziz sendiri selalu ingatkan bahawa solat hajat lebih afdal dilakukan sendiri, tatkala rakyat Kelantan lebih gemar menjemput orang ramai melaksanakan solat hajat, kerana beliau tak mahu aktiviti itu nanti hanya jadi adat. Namun pada masa yang sama Nik Aziz tak menolak jika ada yang meminta beliau mengimami solat hajat atau meminta beliau mendoakan mereka.

Kematian ini merupakan kematian pertama di taman perumahan kami, maka masih banyak yang kami perlu pelajari.
20140209