KUALA LUMPUR – Penemuan fosil dinosaur di Gunung Gagau dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seperti diumumkan Menteri Besar Terengganu kelmarin dipercayai daripada kumpulan dinosaur yang berasal dari Korat, Thailand.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu, Mohd. Zukeri Abdul Ghani berkata, negara ini bukan tumpuan haiwan prasejarah tersebut, sebaliknya haiwan itu dipercayai sebahagian daripada dinosaur yang berhijrah dari Thailand memasuki negara ini bagi mencari makanan.

Menurut beliau, dinosaur dikenal pasti tinggal di kawasan dataran atau tanah yang luas seperti Korat manakala tanah di Semenanjung Malaysia tidak sesuai sebagai tempat tinggal dinosaur.

“Lazimnya dinosaur hidup dalam kumpulan besar dan dataran di Semenanjung kecil berbanding kawasan seperti Korat yang menjadi kawasan habitatnya,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan kewujudan dinosaur di Malaysia suatu ketika dahulu semakin terbukti dengan penemuan terbaharu fosil haiwan itu di sekitar Sungai Chichir dekat Gunung Gagau.

Antara penemuan itu ialah kesan tapak kaki, tulang dan gigi milik tiga spesies dinosaur iaitu Igunodon, Sauropod dan Theropod.

Penemuan itu hasil Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 yang melibatkan penyelidik daripada beberapa buah universiti tempatan bermula dari 13 hingga 23 Oktober lalu.

Mohd. Zukeri memberitahu, pihaknya yakin negara ini bukan habitat dinosaur sebaliknya fosil yang ditemui itu dipercayai hanya membabitkan pergerakan sekumpulan kecil haiwan itu dari Thailand.

Para pengkaji percaya bahawa dinosaur Malaysia hanya singgah di negara ini untuk cari makanan.
Para pengkaji percaya bahawa dinosaur Malaysia hanya singgah di negara ini untuk cari makanan.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz475FlGHMV

20141118