Tengah tunggu kereta dicuci di Car Wash 64. Di sini kereta dibasuh dalam bangunan, Proton Saga BLM upahnya RM 10 siap vakum, manakala bagi mini SUV upahnya RM13 termasuk vakum.

Sambil tunggu layan blog kejap, tak tahu nak buat apa.

Kiriman semalam mengenai kepulangan kami dari Bukit Mertajam telah menimbulkan beberapa persoalan apabila Tedi ada sebut tentang bayangan semasa memandu.

Bayangan semasa memandu disebut juga "lintasan" oleh segelintir manusia atau mungkin juga istilah itu lebih popular di kalangan manusia.

Apa yang selalu disebut orang adalah "ada benda melintas". Benda apa? Wallahu'alam.

 

Master mengalami "lintasan"

Hal "benda melintas" ini adalah sesuatu yang dipandang sinis oleh Master sehinggalah dia mengalaminya pada suatu siang. Pengalaman pertama itu adalah pengalaman yang paling menyentak jantung sehingga terasa mahu luruh jantung dibuatnya.

Pengalaman pada malam itu pula, adalah lintasan yang tidak menyentak jantung tapi membuatkan Master menekan brek mengejut.  Nasib baik dalam 2 keadaan itu kereta dipandu perlahan.

Lintasan yang Master nampak sekilas adalah satu cahaya panjang kabur merentangi jalan yang datang secara tiba-tiba dan habis sahaja brek ditekan ia hilang.

Dalam kejadian pertama di jalan yang tiada kenderaan di sekitar Balai Bomba Bandar Baru Salak Tinggi, manakala pada kejadian kedua pula lintasan seolah-olah ada motosikal di jalan bertentangan, dan motosikal itu ditunggang macam tiada apa-apa di tengah jalan.

Sebaik sahaja melalui kawasan kejadian itu, Master terus memeriksa melalui cermin pandang belakang dan beliau pasti motosikal itu masih ada dan sedang meneruskan perjalanannya.

Kenapa Master periksa motosikal itu benar-benar ada atau tidak?

Kerana pada pengalaman pertama beliau yang Tedi sebut pada awal tadi yang dialaminya pada suatu petang adalah melibatkan sebuah motosikal.

Masa itu Master membelok di satu simpang di Medan Selera berhampiran Kampung Lindungan apabila tiba-tiba sahaja datang sebuah motosikal dari kiri, manakala di sebelah kanan ada sebuah kereta.

Master terkejut dan hampir membelokkan kereta menghentam kereta di kanan, namun dengan pantas Master menghentikan perbuatan beliau dan berserah membiarkan sahaja motosikal itu menghentam kami.

Masalahnya? Motosikal itu tiada pun. Tiada sebuah motosikal pun yang lalu melepasi kami. Adakah itu hanya bayangan Master? Master tak dapat nak jawab sebab beliau yakin beliau selalu periksa side mirror kiri untuk memastikan tiada kenderaan datang.

Sejak itu Master mula percaya tentang "lintasan" yang sebelum itu Master perlekehkan sebagai satu alasan selamat apabila manusia kemalangan.

Percaya Master itu pun mungkin perlukan penjelasan sains untuk dikukuhkan.

Gambar semasa menunggu kereta Proton SAGA BLM dibasuh di kedai cuci kereta Car Wash 64.
20160521