Hari ini merupakan hari yang agak menggembirakan kerana akhirnya penantian kami untuk memasang lampu brek ke-4 pada Subaru XV menjadi kenyataan.

Ia berlaku setelah sekian lama permohonan dan aduan kami kepada Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) tidak mendapat sebarang layanan.

Apa yang selalu brother Zul a.k.a Zack daripada Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) katakan adalah ibu pejabat Subaru (Motor Image Malaysia) tidak memberi jawapan, lampu brek tak sampai lagi, lampu brek dah sampai tapi wiring tak sampai, kemudian lampu brek tak sampai-sampai.

Jawapan yang tidak konsisten itu agak menyakitkan hati

Sehinggalah Master terserempak dan berbual dengan seorang kakitangan Motor Image yang telah meyakinkan Master bahawa Subaru XV STI berwarna hitam itu harus ada lampu brek ke-4 kerana ia masuk sekali dalam pakej aksesori Subaru XV batch tahun 2015.

Pakcik dari Motor Image itu meminta Master meminta bantuan wakil jualan di mana Master membeli kereta Subaru XV itu iaitu Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) untuk melaporkan perihal  ketiadaan lampu brek ke-4 itu kepada Motor Image.

Master memaklumkan dah 2 minggu dia complaint tapi jawapan yang diterima daripada Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) ialah Subaru Malaysia tidak memberi jawapan. Pakcik Motor Image kata mustahil kerana selalunya dalam hari yang sama wakil khidmat pelanggan mereka akan menjawab segala aduan. Dia kata, “Biasalah tu wakil jualan lepas jual kereta nak cuci tangan, tak mahu ambil tahu”. Ini adalah satu sikap yang tidak professional yang membuatkan Tedi mengumpat abang Zack a.k.a Zul dari Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) dalam kiriman ini.

Kita lupakan perangai  Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) itu.

Dijadikan cerita Master telah membuat aduan di laman web Motor Image Malaysia (kini Subaru Malaysia) dan betullah pada hari yang sama beliau telah menerima email balasan daripada pihak Motor Image melalui pakcik Jimmy Chong. Adakah abang Zack a.k.a Zul dari Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) kelentong Master hidup-hidup?

Setelah berbalas email untuk pengesahan dan mendapatkan maklumat di mana Master ingin pasang lampu brek ke-4 Subaru XV itu, di mana Master balas dengan tegas,

Saya mahu pemasangan itu dibuat di Subaru Petaling Jaya

 

Pasang lampu brek ke-4 pada Subaru XV STI di Subaru Petaling Jaya
Pasang lampu brek ke-4 pada Subaru XV STI di Subaru Petaling Jaya, 20160608

 

Mommy uruskan pemasangan lampu brek ke-4

Pemasangan ditetapkan pada hari ini, 8-Jun-2016 jam 10.00 pagi, di mana Mommy yang pergi menghantar kereta Subaru XV STI tersebut kerana Master ada urusan permohonan pembelian saham CIMB.

Mommy tiba di Subaru Petaling Jaya dalam jam 10.00 pagi setelah selesai urusan di Pusat Zakat MAIWP di Masjid Negara. Tiba di sana rupa-rupanya nak kena tahu siapa yang Master berurusan untuk kes tersebut iaitu pakcik Jimmy Chong yang pada masa itu agak sukar dihubungi. Ia adalah kerana mereka perlu tahu siapa yang patut membuat tuntutan. Mereka hairan kerana sepatutnya kes ini diuruskan dan diselesaikan oleh pihak Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) di mana Master membeli kereta Subaru XV STI tersebut, tapi mungkin pakcik Jimmy Chong telah menceritakan masalah Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) yang tidak mahu melayan aduan Master, dan mereka meneruskan pemasangan lampu brek ke-4 tersebut yang dijangka memakan masa 3 jam.

Tapi sebenarnya dalam jam 12.30 dah siap pemasangan lampu tersebut yang Mommy tak dapat melihatnya kerana dikatakan kereta itu diselenggara di tingkat atas.

Sementara Mommy menanti kerja-kerja pemasangan lampu brek tu siap, Mommy sempat mengintai murtabak maggie, Subaru Outback, Subaru XV 2016, Subaru XV Sport, dan  Subaru WRX, sebelum Mommy ke Amcorp Mall menaiki LRT.

Nampak gayanya mungkin kami akan memilih untuk selenggara kereta Subaru XV STI kami ini di Subaru Petaling Jaya selepas ini.

 

Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) perlu diberi amaran?

Baguslah abang Zack a.k.a Zul dari Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) kerana telah berjaya membuat Tedi mengumpat pada malam di bulan Ramadhan ini.

Subaru Malaysia kena memantau perangai Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) kerana ia membuatkan seorang pemilik kereta Subaru agak bengang dengan Subaru Malaysia.

Padahal yang buat perangai bengong adalah Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd). Inilah yang orang tua-tua kata, “Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga”. Subaru Seremban (Rangkaian Auto Trade Sdn Bhd) tu bukannya setakat bilik pameran Subaru (showroom) tapi adalah pusat selenggara (service), alat ganti (spare part), dan jualan (sale)  atau dipanggil 3S Centre Subaru.

Kalau setakat nak pasang lampu brek ke-4 pun kami kena ke Petaling Jaya, apa guna buka cawangan di Seremban? Akal ada?

Sekian, terima kasih.


9 Jun 2016