Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan dua lelaki kerana memiliki tapak kaki dan hempedu beruang madu di kawasan Kompleks Asia City, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, penahanan yang dilakukan Unit Penguat Kuasa JHL Sabah turut merampas empat tapak kaki dan satu hempedu dipercayai diambil daripada beruang madu.

Gambar tapak kaki dan hempedu beruang madu yang dirampas di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia

Pengarah JHL Sabah William Baya berkata, dua lelaki berusia 28 dan 41 tahun dan berasal dari daerah pedalaman di negeri ini ditahan di kawasan Kompleks Asia City, selepas cuba untuk menjual hidupan liar ini kepada orang awam

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan."

"Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Seksyen 41(1)," katanya di sini hari ini.

William berkata, dalam tempoh kurang daripada dua minggu, pihaknya menahan empat lelaki termasuk semalam yang cuba menjual bahagian badan dan organ dalaman beruang madu dipercayai daripada pemburuan haram tiga beruang madu.

"Ini menunjukkan aktiviti penyeludupan hidupan liar di Sabah berleluasa dan jika tidak dibendung ia akan mengakibatkan kepupusan bukan sahaja bagi beruang madu tetapi hidupan liar lain yang terdapat di negeri ini.

"Bukan itu sahaja, aktiviti perdagangan hidupan liar secaram haram di Sabah turut dilihat bergiat aktif dengan adanya penggunaan media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Oleh itu, kami sedang memantau dan JHL Sabah akan bekerja keras bagi membendung masalah ini sekali gus menghalang penjenayah ini daripada terus memusnahkan sumber alam di Sabah," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 6:16 PM, ditulis oleh: Junaidi Ladjana