Kad yang telah berusia 10 tahun itu tersungkur di Lebuhraya MEX...

  • Setelah seminggu Tedi mendiamkan diri dek penangan demam yang belum kebah, malam ini Tedi akan usahakan untuk mencoret dalam masa 15 minit.
  • Pertamanya, Tedi ingin mengucapkan syukur setelah petang tadi Tedi dimaklumkan bahawa rangkaian komputer PLUS sudah semakin stabil. Alhamdulillah, Tedi bergembira mendengar usaha Master selama berminggu-minggu mengkaji dan mencari di mana cacat-cela yang menyesakkan laluan trafik syarikat itu telah membuahkan hasil. Tidak lupa juga buat rakan taulan Master yang sangat membantu.
  • Tapi cerita itu hanya sampingan sahaja. Malam ini Tedi ingin berkongsi kisah kami sekeluarga yang ditimpa bencana apabila palang penghadang di lorong SmartTAG di Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya MEX tiba-tiba sahaja tidak mahu menaikkan dirinya.
  • Apa yang Master sedar ketika itu adalah paparan maklumat menyatakan bahawa kad Touch 'n Go kami telah tamat tempoh!
  • Tetapi tiba-tiba juga penghadang yang hampir menimpa cermin hadapan kereta kami tiba-tiba sahaja naik, membingungkan kepala Master yang tidak dapat memikirkan apakah logiknya? Tetapi pada yang sama juga bersyukur kerana kami terlepas daripada sekatan.
  • Mungkinkah kami terlepas kerana kereta di belakang kami mengekori terlalu dekat sehinggakan ia "menyedekahkan" bayaran tol buat kami? Itu boleh jadi kerana Master selalu juga "tersedekah" bayaran tol melalui penggunaan SmartTAG.
  • Pengajarannya: jangan ekori kereta hadapan terlalu rapat ketika di lorong SmartTAG!
  • Setiba sahaja di pejabat, setelah Master bermesyuarat, dia bergegas turun ke Hub Touch 'n Go cawangan Bangsar South untuk menukar kad Touch 'n Go yang telah tamat tempoh itu dengan kad baru.
  • Kad Touch 'n Go akan tamat tampoh dalam masa 10 tahun daripada tarikh ia dikeluarkan. Dulu semasa kami top up di ERL KLIA2, staf di sana ada memaklumkan bahawa kad Touch 'n Go hampir tamat tempoh. Manakala semasa kami top up menggunakan Kiosk Layan Diri (Self Service Kiosk) di Bangsar South, ia ada memaparkan tarikh tamat tempoh kad tersebut, tapi tetap juga Master terlupa akannya.
  • Proses menukar kad Touch ' Go yang tamat tempoh itu amat cepat tambahan pula pada waktu pagi sekitar jam 10 pagi, tiada pelanggan di sana. Master hanya perlu mengisi nombor akaun bank dalam sekeping borang untuk pihak Touch 'n Go pindahkan baki kredit dalam kad tersebut. Malangnya tiada khidmat pindahkan baki kad lama terus ke dalam kad baru, yang dikatakan sebagai satu polisi syarikat tersebut semasa proses tukar kad touch n go tamat tempoh.
  • Wang akan dimasukkan ke dalam akaun dalam masa 2 minggu sehingga sebulan... wow.... mau lari bajet macam ni... kalau boleh terus pindahkan ke kad baru kan senang?
  • Kad baru diberikan percuma kerana kad kami telah tamat tempoh, sebaliknya kad belum tamat tempoh akan dikenakan bayaran. Malangnya kad lama tidak boleh kami simpan kerana pihak Touch 'n Go akan mengutipnya.
  • Inilah rupa kad baru kami keluaran tahun 2016 dan akan tamat tempoh pada 2026. Ia meraikan tahun ke 20 penubuhan Touch ' Go.
Cara menukar kad Touch 'n Go yang tamat tempoh.

08 Mei 2016, 05:32 pagi, KLIA2.

Kami baru sahaja menghantar Tok Mak dan Tok Ayah menaiki kapal terbang untuk bercuti di Bandung. Tibalah masanya untuk ambil kereta di tingkat CP7 tempat letak kereta B.

Sebelum itu kami perlulah membayar tiket dahulu di CP4 atau lobi tempat letak kereta.

Di situ Tedi melihat ada satu mesin untuk tambah nilai (reload) kad Touch 'n Go yang Master kata namanya ialah Self-service Kiosk atau Kios Layan Diri Touch 'n Go.

Apa yang Tedi sempat baca pada mesin itu ialah tambah nilai (reload) kad TnG adalah percuma, dan kita boleh juga membeli kad baru Touch 'n Go melalui mesin itu.

Jadi kepada kawan-kawan di sekitar kawasan Sepang yang mahu mencari tempat jual kad touch n go tidak perlulah bersusah-payah lagi kerana anda boleh mendapatkannya di Kiosk Layan Diri Touch 'n Go di KLIA2.

kiosk tambah nilai (reload) tanpa caj dan beli kad Touch 'n Go percuma di KLIA2.

 

Kiriman lain yang berkaitan dengan kad Touch 'n Go:

  1. Tambah nilai (reload) kad Touch 'n Go (TnG) di ERL KLIA2
  2. Lorong tambah nilai Touch 'n Go (TnG) di Lebuhraya Pantai Timur
  3. Rebat Touch 'n Go (TnG) terakhir

20161011