Berapa jam yang diperlukan untuk tidur setiap malam?

gambar bilangan jam diperlukan untuk seorang dewasa tidur

Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam tidak menyebutkannya secara khusus sebaliknya Baginda sollallahu alaihi wassalam sekadar bersabda:

"Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas" - (Hadith riwayat Bukhari-Muslim)

Di dalam riwayat yang lain, Baginda sollallahu alaihi wassalam bersabda:

"Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk" - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan bahawa kadar masa untuk tidur berbeza di antara seseorang manusia dengan manusia yang lain, yang penting tidur itu menghilangkan rasa mengantuk dan mendatangkan kecergasan kepada tubuh badan.

Mereka yang mempunyai kepakaran tentang permasalahan tidur telah bersetuju bahawa keperluan tidur adalah tidak sama untuk semua orang. Tidur yang optimum adalah yang tidak mendatangkan mengantuk ketika kita sedang memberikan tumpuan kepada sesuatu. Bagi sesetengah orang, kadar optimanya ialah 5-6 jam setiap malam, namun yang biasanya bagi seorang dewasa ialah 7-8 jam (Michele Moore: Catching Those ZZZZ).

Cara Tidur Nabi Muhammad S.A.W

"Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wudhu seperti wudhu untuk bersembahyang. Kemudian berbaringlah di sebelah kanan." (Hadith riwayat Bukhari-Muslim)

Berkata 'Abbad ibn Tamim:

"Aku melihat Rasulullah sollallahu alaihi wassalam di dalam masjid menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda sollallahu alaihi wassalam." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 Ibn qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda sollallahu alaihi wassalam berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah subhanahu wa ta'ala. (At-Thib an-Nabawi halaman 297)

Dapat disimpulkan bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wassalam suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala tidur secara menelentang. Baginda sollallahu alaihi wassalam tidur berlapikkan bantal yang sesuai. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah baginda sollallahu alaihi wassalam lupakan.

Gambar posisi cara tidur yang diamalkan oleh Rasulullah sollallahu alaihi wassalam dan juga cara tidur yang dibenci baginda.

Cara Tidur yang dilarang Rasulullah S.A.W

Nabi Muhammad sollallahu alaihi wassalam telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap lantas Baginda sollallahu alaihi wassalam bersabda:

"Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." (Hadis riwayat Tarmizi)

Dapart disimpulkan bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wassalam membenci tidur secara meniarap.

Cara Tidur Rasulullah S.A.W dan Pandangan Sains

Sains terpaksa akur dengan kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi Muhammad S.A.W. Mereka mendapati bahawa cara berbaring semasa tidur boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Untuk merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar menyarankan dua kedudukan ketika tidur:

  1. Mengiring ke lambung dengan meluruskan tulang belakang, atau
  2. Menelentang di belakang dengan muka dan badan menghadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher.

Kedua-dua cara ini mencegah tulang leher daripada terseliuh, di samping penggunaan lapik bantal yang sesuai ketika tidur akan membantu mencegah sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column).

Manakala tidur secara meniarap pula akan menekan tulang belakang dan leher seseorang. Ia boleh menyumbang kepada serangan sakit urat saraf dan otot.

Sumber: Majalah i Januari 2004