Ada laporan oleh pekebun pisang berangan di Pontian, Johor, Malaysia bahawa kebun pisang berangan mereka diserang beruang, berdasarkan saiz haiwan dan kesan cakaran tajam. Dikatakan ada kesan tapak kaki tapi sudah hilang ditelan hujan.

Erm... Tedi hairan kenapa beruang nak serang kebun pisang berangan?

Tapi Tedi setujulah dengan pendapat pakcik tu bahawa perlu diadakan siasatan untuk kemaslahatan umat manusia dan haiwan.

Apa-apa pun jangan tuduh semberono. Hal beruang ni sensitif tau...


gambar serangan ke atas kebun pisang berangan yang dipercayai didalangi haiwan digelar beruang

 

8 Disember 2016, PONTIAN - Punca kemusnahan tanaman pisang di Kampung Parit Lintang terus menjadi misteri buat pekebun di sini, kerana kesan yang ditinggalkan kelihatan luar biasa.  

Pekebun pisang, Mohd Zuhaini Jumaslim, 36, berkata, dia bingung melihat keadaan pokok pisang yang musnah kira-kira tiga minggu lalu.

“Dalam perkiraan saya, hampir 30 pokok pisang berangan dimusnahkan dan dah tiga kali kejadian ini berlaku dalam tempoh dua bulan ni.

“Pokok yang sudah mengeluarkan buah tak sempat kami tuai hasilnya kerana sudah dirosakkan haiwan ganjil dipercayai beruang,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya sebagai pekebun pisang hampir 10 tahun lalu, dia percaya kesan kemusnahan pokok pisang yang luar biasa itu disebabkan haiwan bersaiz besar dan mempunyai kuku tajam.  

“Bukan suka-suka cakap, tapi berdasarkan kesan yang ditinggalkan pada pokok pisang jelas sekali haiwan tersebut bukan monyet, babi hutan atau anjing."

“Jika anjing atau monyet pasti tak mampu menumbangkan pokok pisang berangan yang besar saiznya,” katanya.

Kesan tapak kaki yang ditemui di sekitar kebun pisang menguatkan lagi andaian mengenai kehadiran beruang di situ.

Bagaimanapun Mohd Zuhaini berkata, hujan yang kerap pada waktu malam sejak sebulan lalu menyebabkan kesan tersebut hilang.

“Biasanya saya akan datang pada sebelah pagi untuk melakukan kerja-kerja kebun seperti membaja dan membersihkan kawasan kebun pisang.

“Ketika itu, saya nampak kesan tapak kaki yang seakan tapak kaki anjing, namun saiznya agak besar iaitu lebih kurang tiga kali tapak kaki anjing,” katanya.

Ujarnya, dia turut memberitahu kepada penduduk kampung mengenai penemuan itu dan rata-rata mereka percaya ia adalah tapak kaki beruang.

“Saya sempat ambil gambar tapak kaki yang ditemui tu. Memang ramai yang menyatakan ia tapak kaki beruang.

“Kesan cakaran pada pokok pisang mengukuhkan lagi andaian tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada pekebun pisang di situ yang terserempak dengan haiwan liar tersebut.

Sementara itu, Mohd Farid Jumari, 21, berkata, dia kerugian selepas pokok pisang yang matang mengeluarkan buah tidak boleh dituai hasilnya.

“Saya sedih lihat hasil titik peluh hampir setahun, musnah begitu saja. Tak pernah berlaku pada musim lalu, cuma tahun ini agak kerap,” katanya.

Jelasnya, pokok pisangnya yang ditanam di kawasan seluas kira-kira dua ekar (0.8 hektar) kini kerap menjadi sasaran.

“Ada yang cakap beruang sebab tanda yang ditinggalkan seperti kesan cakaran memang menunjukkan ia bukan haiwan biasa seperti monyet atau anjing,” katanya.  

“Jangan main-main, beruang pasti besar saiznya dan boleh menyerang. Saya bimbang sekiranya haiwan liar ini secara mengejut menyerang pekebun,” katanya.

Jelasnya, tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan haiwan berkenaan terus menghuni kawasan kebun pisang milik penduduk.

Sumber: Serangan beruang di Kampung Parit Lintang, Pontian, Johor, Malaysia

20161208