Ini adalah analisa formasi bolasepak yang digunakan oleh Persatuan Bolasepak Kedah yang dikenali juga sebagai Helang Merah bagi tahun 2017.

Logo baru Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah FA). Susunan formasi Kedah 2017.

Formasi 4-2-3-1

Gambar susunan formasi Kedah menentang Felda United, 4-2-3-1.

Ini adalah corak taktikal yang sangat digemari oleh Tan Cheng Hoe pada tahun ini. Formasi 4-2-3-1 ini membolehkan dia menggunakan dua taktikal serangan yang berbeza sama ada menyerang melalui bahagian tengah, atau serangan melalui bahagian sayap.

Pada asasnya Tan Cheng Hoe akan menggunakan serangan hantaran pendek melalui bahagian tengah menggunakan pemain tengah 3 serangkai. Selalunya pemain tengah ini dibarisi dari kiri ke kanan: Fakri Saraani, Sandro da Silva, dan Badrol Bakhtiar. Ketiga-tiga pemain ini akan bermain hantaran-pendek-satu-sentuhan untuk menerobos pertahanan lawan dan mengumpan bola kepada penyerang tunggal mereka iaitu Ken Ilso.

Tiga serangkai itu disokong pula oleh dua pemain-tengah-bertahan (defensive midfielder) iaitu selalunya Adam Mahinan dan Liridon Krasinqi. Kebiasaannya kedua-dua pemain ini akan turut naik ke atas apabila tiga serangkai naik menyebabkan bahagian serangan Kedah FA kelihatan seolah-olah mempunyai 6 orang pemain. Keadaan ini juga membolehkan pemain tengah 3 serangkai berada di depan gol sekaligus memberi banyak pilihan kepada Ken Ilso jika dia perlu menghantar bola.

Namun apabila perlu Tan Cheng Hoe akan mengubah corak serangan Kedah melalui bahagian sayap kiri dan kanan, ketika ini dia akan memasukkan pemain sayap yang mempunyai kepantasan selalunya pemain muda seperti Syazwan Zainon di bahagian sayap kiri. Ketika ini pemain pertahanan-sayap akan selalu membuat larian ke atas dan melakukan overlap. Mereka akan melintangkan bola dari bahagian sayap.

Formasi 4-2-3-1 ini walaupun pada asasnya nampak seperti formasi taktikal untuk bermain secara bertahan, namun Kedah mengambil pendekatan untuk bermain secara menyerang. Keadaan ini menyebabkan pertahanan mereka agak kucar-kacir apabila menerima serangan balas. Namun faedah formasi ini ialah ia memaksa pasukan lawan untuk berkampung di kawasan pertahanan mereka menyebabkan serangan balas mereka hanya melibatkan satu atau dua pemain sahaja.

Jika serangan balas dilaksanakan dengan baik melalui hantaran tepat dan kepantasan, ia akan menyebabkan Kedah sama sekali terperangkap.

Formasi 4-4-2

Pernah digunakan tapi jarang. Tedi perlukan lebih banyak data sebelum membuat rumusan.

20170312