Jangan Pisang Berbuah Dua Kali

Petang tadi selepas tiba dari Bukit Rokan Utara, Tedi menjenguk serai di laman belakang sebab ada pesanan untuk membawanya ke pejabat Master esok.

Saja Master bagi serai tu kepada kawan-kawannya kerana serai ni apabila terlalu banyak akan menyebabkan rumpunnya reput mungkin kerana faktor kebasahan dek kurangnya disinari cahaya mentari.

Jadi petang tadi semasa Tedi menuai serai yang sesuai, Tedi cabut rumpunan yang mereput sebelum Tedi asingkan kepada serai tua dan anak serai.

Anak serai Tedi tanam semula dengan mencucuknya ke dalam tanah bekas tempat asalnya itu.

Ketika ini Tedi terfikir pasal peribahasa jangan pisang berbuah dua kali, yang maksudnya takkan perkara yang sama berulang dua kali iaitu selalunya ditujukan kepada perkara buruk seperti ditipu dan sebagainya.

gambar seorang wanita berrbaju merah bercermin mata gelap bercerita tentang sesuatu dan ingin elak pisang berbuah dua kali

Tedi selalu terfikir kenapa dilarang pisang berbuah dua kali? Rupa-rupanya itu bukan larangan tapi satu nasihat dalam bentuk sarcasm kerana orang zaman dahulu amat arif bahawa pisang memang tidak berbuah dua kali!

Jadi sambil membersihkan rumpunan serai itu Tedi berasa bahawa ia adalah satu pesanan yang sangat bijak yang hanya difahami oleh mereka yang bertani.

Serai yang tua seharusnya dicabut sahaja dan berikan peluang kepada anak-anak serai untuk membesar pula. Jika dibiarkan serai yang tua itu lama di sana, anak-anak serai kurang peluangnya untuk mendapat zat yang diperlukan.

Macam pisang, apabila dituai seharusnya terus ditebang bahagian pohon yang telah berbuah itu, kerana nanti akan muncul pula anak-anak pisang menggantikan pohon yang telah ditebang itu. Zat yang selama ini disalurkan kepada pohon yang berbuah itu kemudiannya boleh digunakan oleh anak-anak pisang untuk membesar.

Jadi peribahasa itu sebenarnya adalah panduan agar segera buang bahagian yang tidak diperlukan atau yang sudah tidak relevant dengan perkembangan zaman kerana ia akan mengganggu perkembangan generasi baru.

Tapi pisang hanya ditebang dan tidak dibuang sepenuhnya kerana bahagian akarnya masih berfungsi memberi makanan dan asas kepada anak-anak pisang.

Jadi walaupun kita kejar perubahan janganlah dibuang terus asal-usul kita. Peganglah asas dan dasar yang baik yang telah dibina.

Pisang yang ditebang pula bukan bermaksud kita membuangnya, tapi satu pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk kesinambungan generasi akan datang.

Ulasan

  1. Takkan pisang berbuah dua kali.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Takkan pisang berbuah dua kali, tidak pisang berbuah dua kali, atau jangan sampai pisang berbuah dua kali.

      Padam

Catat Ulasan

Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.