Kenal Aweera sebab Caliph Buskers

Selepas berulangkali menonton Romancinta yang dipersembahkan Mojo dan Caliph Buskers di final Anugerah Juara Lagu melalui YouTube, Tedi mula menonton video-video lain yang berkaitan.

Ada video pasal asal penglibatan Caliph Buskers dalam persembahan tersebut.

Kemudian melarat pula ke video "pertikaman lidah" di antara Aweera dan Edry KRU di mana Aweera lebih banyak menyerang manakala Edry serahkan segalanya kepada peguam.

Aweera tak puas hati kerana dia anggap dirinya yang patut dijemput nyanyikan lagu tersebut dengan hujah dia yang membawa lagu tu layak ke final. Padahal pada masa tu dia dah keluar dari kumpulan Mojo.

Tedi berasakan perangai Aweera ni bak hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau orang dah tak jemput tu janganlah sibuk nak join juga. Hodoh perangai macam tu.

Itu komen sebelum persembahan final Juara Lagu, selepas persembahan yang mendapat standing ovation tu, Aweera tampil lagi dengan komen-komen yang bagi Tedi memperlekeh keupayaan Caliph Buskers.

Dia kata Edry meraih simpati penonton dengan mempergunakan Caliph Buskers. Tedi setuju dengan pendapat dia bahawa Edry mempergunakan Caliph Buskers, tapi bukan dengan meraih simpati penonton, sebaliknya dengan kekuatan persembahan dan vokal Caliph Buskers.

Gila apa penonton bagi standing ovation sekadar sebab simpati? Persembahan bukan calang-calang tu.

Tetapi, bagi Tedi lah kan, Aweera yang berjaya menumpang kejayaan Caliph Buskers membawa lagu Romancinta tersebut sebab sekarang Tedi dah kenali siapa dia Aweera.

Ulasan