24 September 2017, 05:19 pagi, Hospital Putrajaya.

Tedi dan Master sedang menunggu di kaunter pendaftaran Kecemasan Hospital Putrajaya.

Kami membawa bayi Aina ke sini kerana dia mengalami kesukaran bernafas dan minum susu mungkin kerana kahak di dalam dadanya.

Inilah kesinambungan kepada kes pagi semalam di mana kami bawa bayi Aina ke Nilai Medical Centre di Bandar Baru Nilai until diperiksa doktor pakar di sana.

Semalam bayi Aina telah diberikan gas untuk cairkan kahak dan buka saluran pernafasannya. Sejurus sahaja rawatan tersebut, baby Aina kembali ceria.

Tapi pada sebelah petang semalam menuju ke malam, penyakit baby Aina datang semula. Pada jam 3 pagi nafasnya semakin laju dan dahinya panas.

Master pun keliru kerana termometer dahi mencatatkan suhu dahi baby Aina dalam lingkungan 37 darjah Celcius ke 39 darjah Celcius, manakala termometer ketiak menunjukkan bacaan suhu badan baby Aina di bawah 37 darjah Celcius. Master membasahkan dahi bayi Aina dan sebahagian badannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Kami bergerak ke Hospital Putrajaya pada sekitar jam 4:30 pagi dan sampai sekitar jam 5:00 pagi.

Master menurunkan Mommy dan bayi Aina di hadapan wad Kecemasan Hospital Putrajaya, sebelum mencari tempat letak kereta.

Selepas letak kereta, Master bancuh susu untuk baby Aina pula, sebelum kami ke kaunter pendaftaran Kecemasan Hospital Putrajaya ini.

Duduklah kami berdua menanti bayi Aina dan Mommy.

Suasana pada ketika ini amat aman, ada beberapa orang yang berjaga, ada yang tidur di kerusi, dan ada juga yang tidur beralaskan Toto sekeluarga.