Tedi sukakan suasana di hospital, terutamanya hospital kerajaan.

Mengapa Tedi sukakan suasana di hospital? Padahal di hospital kita melihat orang kesakitan, kesusahan, dan dalam kesedihan.

Ini adalah kerana di sebalik kesakitan, kesusahan, dan kesedihan itu menjelmakan satu sisi masyarakat majmuk Malaysia.

Ketika warga politikus sibuk mencanang politik sempit perkauman, hospital kerajaan menyerlahkan wajah keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Kenapa pula lebih kepada hospital kerajaan? Bagaimana pula dengan hospital swasta?

Kita sedia maklum di hospital kerajaanlah warga Malaysia yang tidak berduit mengadu nasib. Lebih mudah kita boleh kata di hospital kerajaan ni orang-orang susah berkumpul.

Berbeza dengan di hospital swasta di mana keselesaan diberikan sesuai dengan bayaran yang dikenakan.

Pesakit berkongsi bilik di hospital kerajaan, manakala di hospital swasta mungkin sahaja duduk bilik sendiri-sendiri.

Ketika berkongsi wad di hospital kerajaan para pesakit saling bertanya khabar tak kira bangsa.

Para pesakit itu pula dilayan oleh jururawat, attendant hospital, dan doctor dari pelbagai kaum.

Keselamatan mereka juga dijaga oleh pegawai keselamatan pelbagai kaum yang ramah dari warga Malaysia, tidak seperti di tempat lain yang dijaga warga Nepal. Mungkin sahaja syarat untuk jadi jaga di hospital adalah warga Malaysia.

Bila melihat warga Malaysia yang dalam kesusahan ini saling bergaul, terserlah keindahan kemajmukan masyarakat di Malaysia.

Tapi lain jadinya bila kita dalam kesenangan, kita mudah dibobrokkan dengan keburukan bangsa lain oleh mereka yang hanya kejar kuasa politik.

Mungkin sahaja jika nak rawati hati melihat rakyat dalam kesusahan saling menjaga dan hormati sesama sendiri, kita patut menziarahi mereka di hospital.

Saat itu terasa keindahan wajah harmoni warga Malaysia.