Tok Ma kelik ke Kota Bharu naik Ekspres Mutiara

Malam ni Master hantar Tok Ma naik bas Ekspres Mutiara di Bandar Baru Nilai.

Tok Ma nak pulang ke Wakaf Bharu setelah seminggu berada di Bandar Baru Salak Tinggi kerana menjaga cucunya, Nor Áina yang terpaksa dikuarantin di rumah sekurang-kurangnya seminggu untuk membiarkan paru-parunya kuat setelah Aina menerima rawatan di Hospital Putrajaya selama seminggu kerana masalah pernafasan.

Bas Ekspres Mutiara yang Tok Ma naiki itu adalah bas trip NK1.

Bas trip NK1 dari Bandar Baru Nilai ke Kota Bharu (atau mungkin Kubang Kerian?) itu dijadualkan berlepas sekitar jam 8:30 malam.

Master dan Tok Ma bergerak dari rumah kami di Bandar Baru Salak Tinggi ni sekitar jam 7 malam, sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Waktu itu dipilih sebab Tok Ma nak jamak solat Maghrib dan Isya', jadi Tok Ma tak perlulah menunaikan solat fardhu Isya'di dalam perjalanan.

gambar bas Ekspres Mutiara berwarna biru dua tingkat di Terminal Bas Muadzam Shah di Pahang di Malaysia

Mereka singgah di Masjid Dato' Klana Petra Putra Nilai, di mana Master menunaikan solat fardhu Maghrib manakala Tok Ma menunaikan solat fadhu Maghrib dan menjama'kannya dengan solat fadhu Isya'. Solat jama' (jamak) adalah solat yang dihimpunkan di atas syarat yang dibenarkan, dan salah satu keadaan di mana umat Islam dibenarkan menghimpunkan solatnya adalah ketika dalam perjalanan jauh melebihi 2 (dua) marhalah atau 90 (sembilan puluh) kilometer.

Tok Ma gemar naiki bas Ekspres Mutiara dari Bandar Baru Nilai di Negeri Sembilan ke Kota Bharu di Kelantan, kerana konsortium Ekspres Mutiara mempunyai sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) di Gua Musang yang selesa suasananya mencakupi tandas, tempat makan, dan surau.

Jika dari Kota Bharu ke Bandar Baru Nilai pula, Tok Ma lebih suka menaiki bas Ekspres Perdana kerana bas itu kurang perhentian sebelum sampai ke Bandar Baru Nilai. Maka bas Ekspress Perdana akan tiba lebih awal di Bandar Baru Nilai.

Selain itu bas Ekspress Mutiara di Bandar Baru Nilai ni sungguh efektif kerana apabila ia tiba, ia mengambil penumpang, dan terus bergerak apabila semua penumpang mengambil tempat duduk masing-masing. Para penumpang tidak perlu menunggu lama. Mungkin kerana Bandar Baru Nilai adalah hentian pertamanya.

Nak beli tiket bas Ekspress Mutiara di Bandar Baru Nilai ni bolehlah beli di Restoran Nasi Arab Marhaban Bikum yang terletak di Dataran Nilai. Tak susah mencarinya kerana di Dataran Nilai tu cuma ada sebuah bangunan sahaja.

Naik bas pula adalah di seberang jalan berhadapan Dataran Nilai di kawasan kedai. Malangnya kawasan ini gelap gelemat dan tidak banyak kedai walaupun banyak lot kedai. Tiada bangku, jadi orang ramai terpaksalah melabuhkan punggung mereka di mana-mana sahaja yang boleh.

Tedi pun tak fahamlah apalah Majlis Perbandaran Nilai ni fikir? Tak boleh fikirkah tempat tu tumpuan manusia naik bas, maka sediakanlah apa yang patut. Mungkin mereka selesa dengan bekerja di dalam penghawa dingin, maka setakat keperluan rakyat marhaen ni apalah sangat, hanya seperti melukut di tepi gantang.

Di sekitar kawasan tu ada kawasan pembinaan yang Tedi tak tahu nak bina apa, Tedi harap ia adalah pembinaan stesen bas baru.

Selepas Tok Ma naiki bas Ekspress Mutiara tersebut, Master bergerak pulang, memandangkan azan Isya' berkumandang dalam perjalanan pulang tersebut, Master singgah di Masjid Hishammmuddin Bandar Baru Salak Tinggi untuk menunaikan solat fadhu Isya' secara berjemaah.

Ulasan

Trending